Tuesday, June 28, 2011

Pemahaman Komsas

Set 1

Soalan 31 – 35
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya. Pilih jawapan yang paling sesuai.

Sebermula maka adalah sebuah negeri bernama Chempaka Seri, rajanya bernama Indera Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adat istiadat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi adapun tabiat baginda itu terlalulah suka menyabung dan berjudi, sehingga menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian habislah sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa; tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam kerana raja-raja dan orang-orang besarnya terlalu amat suka mengerjakan perkerjaan yang maksiat itu.

Maka adalah pula seorang tua sedang pertengahan umur, namanya Pak Kaduk, tinggal di tepi sungai hujung negeri itu juga. Adapun akan Pak Kaduk ini terlalulah dungu serta dengan betulnya. Maka adalah pada suatu hari Pak Kaduk berkata kepeda isterinya, katanya “Aku ini Mak Siti, ingin pula rasanya hendak pergi menyabung ke gelanggang baginda itu, kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyabung beramai-ramaian di situ, mari kita sabung ayam Biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya terlalu bertuah boleh kita taruhkan kampung kita ini kepada baginda; kalau menang kita, tentulah kita mendapat duit baginda itu.”

Maka ujar isteri Pak Kaduk, “Jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyabung bawa ayam kita itu.” Maka sahut Pak Kaduk, “Jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dengan kertas yang baharu aku beli ini; lekaslah tinggi lagi.” Maka kata isterinya, “Bagaimana awak hendak membuatkan baju dan seluar kertas ini? Jikalau dipakai kelak tentulah carik bertelanjang di tengah gelanggang sabungan itu. Bukankah awak malu besar?” Ujar Pak Kaduk, “Tak mengapa; buatlah juga lekas-lekas, aku hendak pergi.” Setelah itu isteri Pak Kaduk pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi. Maka kata Pak Kaduk, “Usahlah dijahit lagi, perekat sahajalah supaya bangat.” Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya diperekatlah olehnya, apabila sudah, lalu diberikan kepada Pak Kaduk. Maka ia pun segeralah memakai pakaiannya sedondon iaitu berbunga tanjung merah, kuning, hitam dan putih, terlalu hebat rupanya tambahan pula berkena tengkolok helang menyongsong angin. Apatah lagi? Tampaknya Pak Kaduk seperti juara yang maha faham pada sabung-menyabung.

(Dipetik daripada Pak Kaduk Dalam antalogi Seuntai Kata untuk dirasa,
DBP, 2000 halaman 28 - 29)


31 Apakah faktor penting Pak Kaduk tergamak untuk mempertaruhkan kampungnya kepada raja Indera Sari?

A Pak Kaduk ingin mencuba nasib untuk menjadi orang kaya melalui ayam sabungnya.
B Pak Kaduk yakin ayamnya akan menang dan mengharapkan pertaruhan daripada raja.
C Pak Kaduk hanya ingin mencuba tuah yang dimiliki oleh kampungnya..
D Pak Kaduk terlalu suka menyabung ayam dengan ayan orang lain..

32 Yang berikut ialah amalan negatif segelintir rakyat di negeri Chempaka Seri kecuali

A menyabung ayam
B bermain judi
C berhasad dengki
D meninggalkan sembahyang


33 Perwatakan isteri Pak Kaduk yang terdapat dalam petikan di atas ialah

A bijaksana.
B mentaati raja.
C mengambil berat.
D mudah diperdaya.


34 Penggunaan kata dalam petikan yang tidak menunjukkan penggunaan bahasa istana ialah

A taji
B titah
C patik
D tuanku


35 Pengajaran yang dapat digarap dalam keseluruhan cerita ’Pak Kaduk’ ialah

A Seseorang itu perlu mendengar pendapat orang lain.
B Individu itu perlu yakin dengan kebolehan sendiri.
C Kita hendaklah berfikir sebelum bertindak.
D Seseorang itu mestilah menepati janji.


Soalan 36 - 40

Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
USIA

Telah kususun letakmu
disisian tenang
ruang kukecilkan lagi
dengan keinginan sederhana
kulepaskan kupu-kupu semalam
melalui jendela
diiringi segaris cahaya pagi
selamatlah datangmu.

Atas kecintaan diri
hidup didewasakan
menjadi kristal padu
memancarkan cahaya berpenjuru
seharusnya kita berhati-hati
memantulkan kembali
ke hala yang satu.

Tanpa keizinan-Mu
pagi tidak lagi berbau tanah
atau tiba-tiba
lorong kecilku
menjadi ungu.

SITI ZAINON ISMAIL

(Dipetik daripada antologi Anak Bumi Tercinta, Tingkatan 3, Dewan Bahasa dan Pustaka)


36. Selain berasa ruang dalam hidupnya semakin sempit, penyajak juga berasa

A keinginan hidupnya yang terbatas
B sukar untuk mencari cahaya yang terang.
C keinginannya untuk hidup senang sukar dicapai.
D kupu-kupu di rumahnya sudah terbang melalui jendela.


37. Berdasarkan rangkap ketiga sajak, penyajak menyedari bahawa

A kekuatan semangat penting dalam kehidupan.
B kepentingan tanah dalam kehidupan
C kesegaran udara pada waktu pagi.
D Tuhanlah yang menentukan segala-galanya.



38. Penggunaan frasa yang bergaris di atas merupakan gaya bahasa

A simile.
B responsi
C asonansi.
D anafora.

39. Sajak Usia bernada

A melankolik
B romantis.
C patriotik.
D sinis.

40. Yang berikut merupakan persoalan utama sajak Usia kecuali

A ketabahan
B keagamaan.
C keberanian.
D keinsafan.



Set 2

Soalan 31 - 35

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

PEGUAM : Ha, begitulah Encik Sulong. Semua wasiat yang telah diamanahkan
kepada saya oleh arwah Encik Anjang tu dah saya bacakan. Saya harap semua yang berkenaan berpuas hatilah. Dan kalau ada apa-apa masalah lagi silakan datang ke pejabat saya.

SULUNG : Ya, ya, tuan. Terima kasih.

BUSU : Pertanyaan! Err…Pejabat tuan dekat mana?

MAK TEH : Busu…Abang sulung kau tahu di mana pejabat itu!

PEGUAM : Ya, En. Sulung tahu. Aaaa…kalau tak ada apa-apa lagi, saya rasa
bolehlah saya beransur dulu, Encik Sulung, mak cik.

MAK TEH : Eh, kenapa cepat sangat tuan? Tunggulah makan sekali di sini.

SULUNG : Sudikanlah tuan, lauk-lauk kampung itu adalah.

PEGUAM : Oh, terima kasih. Sebenarnya banyak lagi hal yang mesti saya uruskan.
Jadi, saya terpaksa pergi sekarang. Saya harap Encik Sulung faham.

SULUNG : Ya, saya faham tuan.

PEGUAM : Kalau begitu saya minta diri dulu.

MAK TEH : Busu…
Busu terdiam. Dia duuduk perlahan-lahan sambil merungut.

PEGUAM : (Sambil keluar melalui pintu besar) Jumpa lagi Encik Sulung.

SULUNG : Ya, terima kasih banyak-banyak tuan.

KESAN BUNYI ( Enjin kereta dihidupkan dan kereta menderum pergi)

LAMBAK : (Membentak tiba-tiba) Saya tak setuju! Saya tak setuju!

SITI : Saya juga tak setuju! Pembahagian ini tidak adil.Wasiat tu tak betul!
Tak .boleh pakai.

SULUNG : Eh, apa hal ini? Tiba-tiba saja tak setuju, tidak adil!

MAK TEH : Ini wasiat! Kamu nak main-mainkan wasiat orang yang dah mati ya?

LAMBAK : Ini mesti ada sesiapa yang pengaruhi arwah ayah! Wasiat itu bukan
arwah ayah yang membuatnya. Mesti ada orang lain!

SITI : Kenapa awak semua dapat berekar-ekar, sedang kami dapat setengah
ekar seorang? Adil ke macam tu? Patut ke?

MAK TEH : Hei, Lambak, Siti! Kau sedar tah kau tu siapa?

LAMBAK : Kami sedar kami hanya anak tiri pada arwah ayah. Tapi arwah tu dah
anggap kami macam anak sendiri, macam anak kandung! Dan arwah
juga dah berjanji nak beri sekurang-kurangnya dua ekar seorang kepada
kami.

(Sumber dipetik daripada Drama Penunggu Pusaka. Karya Zakaria Ariffin, Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa.)

31 Apakah yang menyebabkan Lambak dan Siti begitu marah?

A surat wasiat itu ditulis oleh orang lain.
B menganggap pembahagian harta pusaka tidak adil.
C wasiat arwah ayahnya tidak boleh dibacakan oleh peguam.
D tidak diberikan rumah yang dijanjikan oleh arwah ayahnya.


32 Lambak telah menuduh adik-beradiknya yang lain kerana

A menulis surat wasiat itu.
B hendak membolot semua harta pusaka.
C berpakat dengan peguam untuk menipunya.
D cuba mempengaruhi arwah ayahnya.


33 Tindakan Lambak menunjukkan Lambak ialah seorang yang

A gila kuasa
B pembohong
C pembelot
D tamak


34 Di manakah peristiwa dalam petikan di atas itu berlaku ?

A Rumah Siti
B Rumah Lambak
C Pejabat peguam
D Rumah peninggalan Encik Anjang


35 Susunan peristiwa drama “Penunggu Pusaka” yang betul ialah

A saudara tiri berpakat  kehadiran peguam  Lambak bertemu bomoh  Busu
menggagalkan rancangan Lambak.
B Busu menggagalkan rancangan Lambak.  bertemu bomoh  saudara tiri
berpakat  kehadiran peguam.
C Lambak bertemu bomoh  saudara tiri berpakat  kehadiran peguam  Busu
menggagalkan rancangan Lambak.
D kehadiran peguam  saudara tiri berpakat  Lambak bertemu bomoh  Busu
menggagalkan rancangan Lambak.


Soalan 36 - 40

Baca syair di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

SYAIR CINTAI ALAM SEKITAR

Aduhai adikku kakak berpesan,
Kelak dirimu jadikan panduan,
Cintai keindahan jaga kebersihan,
Persekitaran indah tiada pencemaran.

Kempen kebesihan bersama dihayati,
Udara nyaman pasti dinikmati,
Sihat badan wajah berseri,
Negara aman hidup harmoni.

Jadilah warga bertimbang rasa,
Kepada alam membuat jasa,
Tanah dan tumbuhan dipelihara,
Kerosakan tiada bumi sejahtera.

Balak di tebang sesuka hati,
Tanah runtuh di sana sini,
Rancang pembangunan dengan teliti,
Wujudkan keseragaman pentingkan kualiti.

Pelbagai bungaan menghias taman,
Dapat dipelihara sepanjang jalan,
Indah pemandangan destinasi pelancongan,
Majukan negara tingkatkan pendapatan.

Wahai adikku dengarlah tuan,
Bumi ini amanah Tuhan,
Jangan suka membuat kerosakan,
Nyawa terancam mengganggu kesihatan.

Bumi ini amanah Tuhan,
Dijaga rapi ke akhir zaman,
Usah dicari kemurkaan Tuhan,
Kelak nanti ditimpa seksaan.

Tanah, udara dan lautan,
Allah kurnia pelbagai kegunaan,
Mesti dihayati penuh kesyukuran,
Pasti dilimpah pelbagai kurniaan.

Air sungai mengalir damai,
Ombak berlagu memukul pantai,
Unggas bernyanyi suasana permai,
Di hari minggu kita bersantai.

Jerebu berleluasa melanda negara,
Kebakaran dan kilang punca angkara,
Lapisan ozon semakin derita,
Tanamkan kesedaran atasi segera.

Amalan meludah membuang sampah,
Mengotorkan sekitar mesti ditegah,
Menghisap rokok menagih dadah,
Perbuatan yang buruk perlu dicegah.

Sampai hati membuat kerosakan,
Menangis bumi banyak pencemaran,
Tanah, sungai, parit, lautan,
Kotor ditaburi sisa buangan.

Sematkan di jiwa semangat iltizam,
Janganlah suka berbuat kejam,
Flora dan fauna tidak terancam,
Kehidupan di dunia aman tenteram.

Gunakan minda dan kreativiti,
Mencanai lukisan ukiran seni,
Hiasan artifak menambah seri,
Sekitar indah hidup harmoni.

RAFE’AH ABDUL RAHMAN


36 Apakah kesan yang timbul akibat daripada kebakaran dan pelepasan asap kilang tanpa kawalan?

A berlakunya pencemaran air.
B lapisan ozon akan semakin menipis.
C udara dipenuhi sisa buangan.
D mengotorkan persekitaran .


37 Alam sekitar akan menjadi indah dan tiada berlaku pencemaran sekiranya

A rajin berkebun dan menanam pokok bunga.
B sering bersantai bersama dengan keluarga di rimba.
C memupuk sikap cinta akan keindahan dan kebersihan.
D memulihara bangunan-bangunan lama.


38 Frasa Sihat badan wajah berseri dalam rangkap kedua syair tersebut ialah contoh gaya bahasa

A sinkof.
B inversi.
C metafora
D personifikasi.


39 Yang berikut merupakan persoalan yang terdapat dalam Syair Cintai Alam Sekitar, kecuali

A pencemaran hendaklah dicegah.
B kehidupan memerlukan udara yang bersih.
C sikap amanah apabila memikul sesuatu tugas.
D kesyukuran atas pemberian nikmat Tuhan.


40 Apakah tema syair Cintai Alam Sekitar ?

A Pencemaran angkara manusia.
B Tanggungjawab manusia terhadap hutan.
C Kepentingan menjaga alam sekitar
D Kepupusan hidupan liar



Set 3

Soalan 31 - 35

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya. Pilih jawapan yang paling sesuai.

Dia teringat akan kata-kata ayahnya yang telah meninggal dunia tiga tahun yang lalu. Kata ayahnya,”Mei Ling, hidup kita adalah seperti pohon-pohon getah.Walaupun warna daunnya hijau semata, tetapi setiap hari batangnya ditoreh oleh kita sendiri. Itulah hidup kita, anakku. Kita belajar untuk hidup berbahagia walaupun terluka. “
Mei Ling memekupkan muka dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Sesudah usianya meningkat lima belas tahun kini, dia terasa kata-kata ayahnya tiga tahun lalu itu mengandung makna yang amat pejal dan padu.
“Apa yang dimenungkan itu, Mei Ling?”
Mei Ling tersentak. Serentak itu juga khayalannya terputus. Dia menoleh kebelakang, terpandang ibunya yang tersenyum nipis. Mei Ling cuba untuk membalas senyum ibunya itu, tetapi dia sendiri dapat merasakan senyumnya itu sengaja dibuat-buat.
“Ah! Alangkah pura-puranya aku!” desis hati kecilnya.
Nyonya Khoo merapat ke sisi anaknya, memegang bahu gadis sunti itu. Mei Ling mendongak, menatap wajah ibunya. Nyonya Khoo masih tersenyum, sesekali pula mengurut-ngurut rambut panjang anaknya itu. Mei Ling tunduk merenung lantai sewaktu sorot mata ibunya tepat-tepat melekat pada wajahnya. Dia seakan tidak berdaya menentang sorot mata ibunya; bagaikan ada sesuatu rahsia di sebalik mata yang agak cengkung itu.
“Salinlah pakaian sekolah itu, Mei Ling. Mari kita makan. Hari ini ibu masakkan bubur sayur untuk Mei Ling. Mei Ling tentu suka, bukan?” Nyonya Khoo memecahkan kesunyian yang tercipta sejenak tadi.
Mei Ling kembali mengangkat muka, kemudian bangun; menggenggam erat tangan ibunya.
Sesudah menyalin pakaian sekolahnya, Mei Ling menuju ke dapur. Nyonya Khoo sudah siap duduk menghadap meja bulat yang agak usang, mengisi bubur sayur yang masih hangat itu ke dalam dua biji mangkuk; semangkuk untuknya dan semangkuk lagi untuk anak gadisnya, Mei Ling.
“Wah, hari ini selera saya berlainan sekali! Mencium bau bubur sayur ini pun rasanya sudah kenyang,” seloroh Mei Ling.
Nyonya Khoo hanya menggeleng-geleng. Tersenyum mendengar kata-kata lucu anak gadisnya itu.

(Dipetik daripada cerpen
Sehijau Warna Daun, antologi Sehijau Warna Daun,
Tingkatan 1, Dewan Bahasa Dan Pustaka)


31 Apakah perkara yang difikirkan oleh Mei Ling?

A Nasihat ayahnya tentang erti kehidupan,
B Penderitaan yang ditanggung oleh ibunya.
C Kehidupan mereka selepas ayahnya meninggal dunia.
D Berfikir tentang ayahnya yang telah meninggal dunia.


Mengapakah ungkapan tersebut wujud dalam hati Mei Ling ?

A Mei Ling memikirkan masalah yang dihadapinya.
B Mei Ling masih memarahi ibunya.
C Mei Ling benci akan sikap ibunya.
D Mei Ling seorang yang suka berpura-pura .

33 Berdasarkan petikan di atas, yang manakah antara berikut bukan perwatakan Nyonya Khoo?

A Penyayang.
B Prihatin.
C Bersederhana.
D Bertanggungjawab.

34 Persoalan yang terdapat dalam petikan dia atas ialah

A tanggungjawab ibu terhadap anak.
B kegigihan seorang remaja.
C konflik jiwa seorang ibu.
D ketabahan menempuh dugaaan .

35 Cerpen ini dimulakan dengan

A memperkenalkan watak Nyonya Khoo.
B lamunan Mei Ling tentang pesanan ayahnya.
C perbualan antara Mei Ling dengan ibunya.
D kepulangan Mei Ling dari sekolah.

Soalan 36 – 40

Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

SEUNTAI KATA UNTUK DIRASA

Panas usah membakar dada
suara usah menggegar saja
kalau benar membawa cita
di dalam senyap mengumpul tenaga.

Ayam bertelur sekampung tahu
mengapa mesti kita begitu?
falsafah ubi diam berisi
mengapa tidak kita turuti?

Sekarang singkirkan semua bicara
sekarang kumpulkan tenaga raksasa
tiba saat berbunga merah
serentak mara kita bersama.

A. SAMAD SAID
(Dipetik daripada antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa, Tingkatan 2, DBP.)


36 Apakah falsafah yang terdapat dalam sajak di atas yang tidak harus diikuti ?

A Cepat berputus asa.
B Melengahkan kerja.
C Banyak bercakap tetapi tiada hasil.
D Menunjuk-nunjuk akan kebolehan diri sendiri.


37 Apakah peranan penyajak dalam sajak ini?

A Pengkritik
B Pengacara
C Penasihat
D Pemudah cara

38 Frasa tiba saat berbunga merah merupakan unsur gaya bahasa

A inversi.
B asonansi.
C metafora.
D hiperbola.


39 Daripada sajak di atas, apakah ciri-ciri orang yang boleh menjadi pemimpin ?

A Pintar menggunakan fikiran
B Kurang bercakap dan cekap bekerja.
C Banyak idea untuk dilaksanakan.
D Gagah dan lantang bersuara.


40 Yang berikut pengajaran yang terdapat dalam sajak "Seuntai Kata Untuk Dirasa" kecuali

A mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh.
B perlu kurang bercakap perkara yang remeh-temeh.
C sewajarnya bersama-sama dalam segala hal.
D hendaklah merancang demi kejayaan diri.



Set 4

Soalan 31 - 35

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Mun marah-marah. Jonny hanya tersenyum sinis menambahkan lagi sakit hati Mun.
-Eh, tentulah! Aku ni kucing Parsi daripada baka terbaik. Ibu bapaku dulu adalah juara dalam pertandingan kucing anjuran Persatuan Pencinta Kucing Malaysia. Buluku panjang dan lebat, memang berpadanan sekali dengan namaku yang hebat. Tuan aku pun amat sayang kepadaku!
Jonny mencebik, penuh kebanggaan.
Mun terlongo.Perasaan marah dan kagum saling berbaur.Terasa betapa kerdilnya diri Mun berbanding Jonny. Mun hidup serba kekurangan. Jonny pula disaluti kemewahan. Alangkah bertuahnya Jonny! Hati Mun berbicara sendiri.
-Kau tak ada tuankah?
Dahi Jonny berkerut, ingin tahu. Perasaan Mun terguris. Pertanyaan Jonny mengundang sejumlah kepedihan. Perlahan Mun menggeleng.
-Tiada siapa yang sudi memelihara aku. Manusia menganggap kehadiranku hanyalah satu beban, bukan amanah atau anugerah Tuhan. Mereka membenciku dan aku hidup sebatang kara. Suara Mun serak membendung kesedihan.
-Maafkan aku, Mun. Nada suara Jonny berubah. Wajah Jonny redup mengisi simpati. Mun memaksa bibirnya mengukir senyuman. Hambar. Melihat Mun tersenyum, Jonny kembali lega.

(Dipetik daripada cerpen Pertemuan, Antologi Anak Bumi Tercinta, Tingkatan 3, DBP)

31 Perasaan Mun terguris dengan pertanyaan Jonny kerana

A Mun berasa rendah diri
B Mun hilang tempat bergantung
C hidup Mun susah
D Mun sering dihina

32 Nilai yang dapat diambil daripada petikan cerpen Pertemuan di atas ialah

A kesabaran
B kegigihan
C ketabahan
D simpati



33 Buluku panjang dan lebat, memang berpadanan sekali dengan namaku yang hebat.


Apakah pengajaran yang dapat dipetik daripada pernyataan di atas ?

A kita jangan mudah lupa diri
B kita mesti berbaik sangka antara satu dengan lain
C jangan terlalu bangga dengan apa-apa yang dimiliki
D kita hendaklah ikhlas dalam persahabatan

34 Perwatakan Mun yang terdapat dalam petikan di atas ialah

A sombong
B merendah diri
C penyayang
D pemarah

35 Apakah kesudahan cerita ini?

A Mun tinggal bersama Jonny
B Mun mati dilanggar kereta
C Mun mati akibat didera
D Mun dipungut oleh sepasang suami isteri

Soalan 36 - 37

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

MATA AYAH

Ku jabat mesra tangan ayah
Urat-urat daging-daging tua keras terasa
Mataku tersenyum, matanya menyapa
Anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, matanya yang menatapku
Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang
Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah
Merasakan kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak merasa, sebab derita itu adalah dia.

Usman Awang
(Dipetik daripada antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa,
Tingkatan 2, DBP)



36 Bagaimanakah sambutan ayah terhadap anaknya?

A tidak dipedulikan.
B penuh dengan kepiluan.
C disambut dengan mesra.
D disambut dengan sederhana.


37 Rangkap kedua sajak menggambarkan

A mata ayah yang menatap wajah anaknya yang pulang.
B kesukaran hidup yang selama ini ditanggung oleh ayah.
C penderitaan ayah yang tidak pernah ditunjukkannya selama ini.
D harapan ayah terhadap anaknya yang telah pulang menjenguknya.



38 Persoalan yang terdapat dalam rangkap ketiga sajak “Mata Ayah” ialah

A kerinduan anak terhadap ayahnya.
B anak yang mengenang jasa ayahnya.
C menghormati dan menghargai jasa ayah.
D kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah.



39 Gaya bahasa yang terdapat dalam baris di atas ialah

A metafora.
B personifikasi.
C anafora.
D sinkof.

40 Yang berikut perwatakan ayah bedasarkan sajak “Mata Ayah” kecuali

A semakin tua.
B menyesali sikap anak-anaknya.
C sanggup berkorban untuk anak.
D menyembunyikan penderitaannya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home